Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) akan menyediakan beberapa buah teleskop untuk orang awam menyaksikan Gerhana Bulan Separa ini. Orang ramai dijemput hadir ke program tersebut pada 4 Jun 2012, jam 8.00 malam hingga 10.00 malam di Planetarium Negara. Masuk adalah percuma. Selain daripada Gerhana Bulan Separa, anda juga berpeluang menyaksikan Planet Marikh dan Zuhal menerusi teleskop sekiranya cuaca mengizinkan. Anda juga boleh melayari Laman Facebook Malaysia Lunar Eclipse untuk melihat foto-foto Gerhana Bulan Separa yang diambil dari Sandakan mulai jam 7:10 p.m. hingga 8:10 p.m.
Pada 4 Jun 2012, kita akan berpeluang untuk menyaksikan Gerhana Bulan Separa apabila Bulan mulai terbit sehingga 9:18 p.m. Secara amnya gerhana bulan akan berlaku ketika fasa bulan penuh dan pada masa yang sama Bulan melintasi bayang Bumi seperti yang terdapat dalam Rajah 1.
Gerhana pada 4 Jun ini akan bermula dengan fasa penumbra ( P1 ) pada jam 04:48 p.m. waktu Malaysia. Walau bagaimanapun semasa fasa penumbra ini, kesan kenampakan gerhana masih tidak dapat dilihat memandangkan Bulan merentasi bayang penumbra Bumi yang kurang gelap dan kebetulan juga pada waktu itu Bulan masih belum terbit lagi dari ufuk.
Bulan mula memasuki bayang umbra Bumi (U1) pada jam 6:00 p.m. dan gerhana maksimum akan berlaku pada jam 7:04 p.m.. Fenomena gerhana tersebut hanya dapat disaksikan di Malaysia apabila Bulan mulai terbit pada jam 7:18 p.m.. Fenomena gerhana ini dapat disaksikan sehingga 8:07 p.m. apabila Bulan keluar sepenuhnya dari umbra Bumi (U4).
Gerhana masih terus berlaku sehingga jam 9:18 p.m. tetapi fenomena tersebut tidak dapat disaksikan kerana Bulan berada di kawasan bayang penumbra Bumi yang kurang gelap.
Jadual 1 : Data Gerhana Bulan Separa Pada 4 Jun 2012 (sumber: http://eclipse.gsfc.nasa.gov/OH2012.html)
Fasa | Keterangan | Masa |
P1 | Bulan mula memasuki “Penumbra” | 04:48 p.m. |
U1 | Bulan mula mengalami fasa gerhana separa | 06:00 p.m. |
Maksimum | Bulan berada separa dalam “Umbra” | 07:04 p.m. |
U4 | Bulan keluar sepenuhnya dari “ Umbra” | 08:07 p.m. |
P4 | Bulan keluar dari “Penumbra” | 09:18 p.m. |
Catatan: Umbra – Bahagian bayang yang sangat gelap
Penumbra – Bahagian luar bayang yang relatifnya lebih cerah
Tidak kira di mana anda berada di Malaysia, sekiranya langit berada dalam keadaan cerah selepas Matahari terbenam, lihat ke arah Tenggara di mana Bulan berada. Anda berpeluang menyaksikan fenomena tersebut dengan mata kasar.
No comments:
Post a Comment